3/27/2011

Memilih Pasangan Hidup Perlu Ada 'Guideline"


Assalamua'laikum.


Salam sejahtera buat semua Sahabat Alumni Keroh yang dikasihi sekalian.


Alhamdulillah, syukur kepadaNYA, atas limpah kurnia yang tak pernah henti. Malah, semakin hari, semakin banyak yang datang kepada kita. Segala puji dan puja hanya untukNYA.


Hari ini, kami ingin berkongsi sedikit ilmu dengan sahabat sekalian. Moga ada manfaatnya untuk kita bersama.


Rata-rata masyarakat sekarang mengambil mudah pergaulan antara lelaki dan wanita. Baik orang tua mahupun yang muda, apatah lagi anak-anak kecil yang belum mengerti apa-apa.


Tanpa suatu ikatan yang sah, si lelaki boleh membawa si wanita ke mana-mana saja. membonceng motor ke tempat-tempat rekreasi, berdua-duaan dalam keadaan mencurigakan. Malah, ada yang lebih hebat, ibu bapa sendiri yang memberi kebenaran kepada pasangan lelaki dan wanita ini untuk keluar bersama. Dengan alasan, anak-anak sudah besar. Sudah mampu menjaga diri sendiri. Ada juga ibu bapa memberi alasan bahawa mereka sendiri tidak punya masa untuk membawa anak-anak mereka ke mana-mana. Jadi, dibiarkan saja anak-anak mencari hiburan bersama rakan-rakan diluar.


Apakah yang telah terjadi dengan dunia sekarang?


Islam sangat melarang lelaki berfoya-foya dengan wanita. Pergaulan antara lelaki dan wanita ada batasnya. Jika seseorang lelaki itu ada keinginan terhadap seorang wanita, maka dia hendaklah masuk meminang dan berkahwin.


Langkah itu bukan sahaja membawa kepada pahala kerana mengikut sunnah Nabi saw, tetapi juga mengelakkan dirinya daripada keburukan dan maksiat. Hentikanlah amalan membawa wanita yang bukan muhrim ke sana sini dengan niat suka-suka kerana ia bukan sahaja berdosa tetapi juga menjatuhkan kemuliaan pada diri dan keluarga masing-masing. Apatah lagi apabila hubungan berkenaan dengan sekadar suka-suka, tidak membawa kepada pernikahan.


Pengharaman ini wajar kerana kesan dari melanggar larangan tersebut akan terbawa-bawa kepada zuriat nanti. Allah sangat mengharapkan lahir dari zuriat itu, mereka yang baik dan cergas. Hadis Rasulullah saw ada menerangkan bahawa baginda benci kepada orang yang suka membujang sampai ke tua. Berkahwin adalah sunnah Rasulullah saw, dan baginda akan berbangga dengan umatnya yang ramai di akhirat kelak. Namun demikian untuk mendirikan rumahtangga berbagai-bagai persediaan yang perlu disiapkan sebagai bekalan dan jambatan untuk meniti alam berumahtangga.


Ada beberapa persoalan yang perlu kita tanya pada diri sebelum memilih seseorang sebagai pasangan hidup. Islam menegaskan pilihan hendaklah berasaskan kepada yang kuat berpegang kepada agama dan berakhlak mulia serta mempastikan samada sudah dipinang atau belum dan berbagai-bagai lagi.


Rasulullah saw bersabda yang maksudnya:

"Janganlah kamu kahwin dengan perempuan kerana kecantikannya, kerana boleh jadi mereka akan merugikan. Dan jangan kerana hartanya, kerana boleh jadi mereka akan mendurhakai. tetapi kahwinlah kerana agamanya. Sesungguhnya seorang budak perempuan hitam yang pecah hidungnya tapi beragama adalah lebih baik."


Baginda bersabda lagi yang maksudnya:

"Barangsiapa berkahwin akan perempuan kerana hartanya dan elok rupanya nescaya diharamkan akan hartanya dan elok rupanya yakni ditegahkan akan hartanya dan eloknya, dan barangsiapa yang berkahwin akan dia kerana agamanya nescaya diberi rezeki oleh Allah swt akan dia akan hartanya dan eloknya."


Dari hadis di atas dapatlah difahami bahawa Rasulullah saw menegaskan kepada kaum lelaki supaya memilih calon isteri orang yang beragama serta berakhlak mulia, kerana bila isteri itu kuat beribadah akan membuahkan akhlak yang mulia maka rezeki dan hartanya dimurahkan Allah swt.


*UKHUWWAH FILLAH ABADAN ABADA*

No comments:

Post a Comment

SAMPAIKANLAH KEBAIKAN, MOGA BERMANFAAT