3/27/2011

Memilih Pasangan Hidup Perlu Ada 'Guideline"


Assalamua'laikum.


Salam sejahtera buat semua Sahabat Alumni Keroh yang dikasihi sekalian.


Alhamdulillah, syukur kepadaNYA, atas limpah kurnia yang tak pernah henti. Malah, semakin hari, semakin banyak yang datang kepada kita. Segala puji dan puja hanya untukNYA.


Hari ini, kami ingin berkongsi sedikit ilmu dengan sahabat sekalian. Moga ada manfaatnya untuk kita bersama.


Rata-rata masyarakat sekarang mengambil mudah pergaulan antara lelaki dan wanita. Baik orang tua mahupun yang muda, apatah lagi anak-anak kecil yang belum mengerti apa-apa.


Tanpa suatu ikatan yang sah, si lelaki boleh membawa si wanita ke mana-mana saja. membonceng motor ke tempat-tempat rekreasi, berdua-duaan dalam keadaan mencurigakan. Malah, ada yang lebih hebat, ibu bapa sendiri yang memberi kebenaran kepada pasangan lelaki dan wanita ini untuk keluar bersama. Dengan alasan, anak-anak sudah besar. Sudah mampu menjaga diri sendiri. Ada juga ibu bapa memberi alasan bahawa mereka sendiri tidak punya masa untuk membawa anak-anak mereka ke mana-mana. Jadi, dibiarkan saja anak-anak mencari hiburan bersama rakan-rakan diluar.


Apakah yang telah terjadi dengan dunia sekarang?


Islam sangat melarang lelaki berfoya-foya dengan wanita. Pergaulan antara lelaki dan wanita ada batasnya. Jika seseorang lelaki itu ada keinginan terhadap seorang wanita, maka dia hendaklah masuk meminang dan berkahwin.


Langkah itu bukan sahaja membawa kepada pahala kerana mengikut sunnah Nabi saw, tetapi juga mengelakkan dirinya daripada keburukan dan maksiat. Hentikanlah amalan membawa wanita yang bukan muhrim ke sana sini dengan niat suka-suka kerana ia bukan sahaja berdosa tetapi juga menjatuhkan kemuliaan pada diri dan keluarga masing-masing. Apatah lagi apabila hubungan berkenaan dengan sekadar suka-suka, tidak membawa kepada pernikahan.


Pengharaman ini wajar kerana kesan dari melanggar larangan tersebut akan terbawa-bawa kepada zuriat nanti. Allah sangat mengharapkan lahir dari zuriat itu, mereka yang baik dan cergas. Hadis Rasulullah saw ada menerangkan bahawa baginda benci kepada orang yang suka membujang sampai ke tua. Berkahwin adalah sunnah Rasulullah saw, dan baginda akan berbangga dengan umatnya yang ramai di akhirat kelak. Namun demikian untuk mendirikan rumahtangga berbagai-bagai persediaan yang perlu disiapkan sebagai bekalan dan jambatan untuk meniti alam berumahtangga.


Ada beberapa persoalan yang perlu kita tanya pada diri sebelum memilih seseorang sebagai pasangan hidup. Islam menegaskan pilihan hendaklah berasaskan kepada yang kuat berpegang kepada agama dan berakhlak mulia serta mempastikan samada sudah dipinang atau belum dan berbagai-bagai lagi.


Rasulullah saw bersabda yang maksudnya:

"Janganlah kamu kahwin dengan perempuan kerana kecantikannya, kerana boleh jadi mereka akan merugikan. Dan jangan kerana hartanya, kerana boleh jadi mereka akan mendurhakai. tetapi kahwinlah kerana agamanya. Sesungguhnya seorang budak perempuan hitam yang pecah hidungnya tapi beragama adalah lebih baik."


Baginda bersabda lagi yang maksudnya:

"Barangsiapa berkahwin akan perempuan kerana hartanya dan elok rupanya nescaya diharamkan akan hartanya dan elok rupanya yakni ditegahkan akan hartanya dan eloknya, dan barangsiapa yang berkahwin akan dia kerana agamanya nescaya diberi rezeki oleh Allah swt akan dia akan hartanya dan eloknya."


Dari hadis di atas dapatlah difahami bahawa Rasulullah saw menegaskan kepada kaum lelaki supaya memilih calon isteri orang yang beragama serta berakhlak mulia, kerana bila isteri itu kuat beribadah akan membuahkan akhlak yang mulia maka rezeki dan hartanya dimurahkan Allah swt.


*UKHUWWAH FILLAH ABADAN ABADA*

3/22/2011

Jom kenali Sultan Muhammad Al-Fateh


Assalamua'laikum.


Semoga semuanya sihat sejahtera dalam kalungan kasih sayang ALLAH. =)


Baiklah, dikesempatan ini, kami ingin kongsikan serba sedikit tentang Sultan Muhammad yang juga dikenali sebagai Al-Fateh yang bermaksud si penakluk. Baginda digelar Al-Fateh kerana telah berjaya menakluk beberapa buah negara sepanjang pemerintahan Baginda.


Siapakah Sultan Muhammad?

- Baginda adalah anak tunggal Sultan Murad II, pemimpin kerajaan Usmaniah dan Permaisuri Aishah

- Baginda dilahirkan pada 27 Rejab 835H bersamaan dengan 29 Mac 1432M.

- Baginda mangkat pada 3 Mei 1482M. Mengikut catatan, Baginda telah diracun.

- Sultan Muhammad Al-Fateh telah ditabalkan sebagai Pemerintah ketika berumur 19 tahun. Hanya setelah 2 tahun pemerintahannya, Baginda telah berjaya menawan Kota Konstantinopel iaitu pada usia 21 tahun.

- Baginda telah menukar nama Kota Konstantinopel kepada Istanbul yang bermaksud, ISLAM keseluruhannya.


Sebelum Sultan Muhammad Al-Fateh, telah banyak cubaan yang dilakukan oleh Khalifah ISLAM yang lain untuk menawan Kota Konstantinopel. Antaranya ialah:
1) Saidina Ali r.a pada tahun 34 Hijrah.

2) Muawwiyah b. Abu Suffian pada Tahun 84 Hijrah.

3) Sultan Sulaiman pada tahun 91 Hijrah.

4) Khalifah Harun Al-Rasyid pada tahun 165 Hijrah

5) Sultan Beyazid pula telah melakukan 3 kali cubaan iaitu pada 1391M, 1397M dan 1400M.

6) Dan akhirnya, pada 20 JamadilAwwal 857H bersamaan dengan 29 Mei 1435M, Sultan Muhammad telah berjaya menawan Kota Konstantinopel.


Menarik tentang Penaklukan Kota Kontantinopel:

- Terdapat jenazah sahabat Rasulullah s.a.w iaitu Abu Ayyub Al Ansary telah dimakamkan di benteng Kota Konstantinopel. Beliau telah berwasiat supaya jenazahnya dimakamkan disitu kerana katanya "“Kerana aku ingin mendengar derapan tapak kaki kuda sebaik-baik raja yang akan mengetuai sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan Konstantinopel”.
- Sultan Muhammad berjaya menawan Kota Konstantinopel setelah 53 hari berperang.
- Penciptaan Meriam Urban bermula pada Pemerintahan Sultan Muhamad. Meriam tersebut dicipta oleh seorang lelaki yang bernama Urban. Beliau telah ditangkap oleh Pemerintah Kota Konstantinopel, kerana Baginda mendapat tahu bahawa Urban pandai membuat sejata. Tetapi Urban tidak bersetuju untuk menolong Pemerintah Kota Konstantinopel yang zalim itu, dan telah dihukum penjara sehinggalah Sultan Muhamad Al-Fateh menyelamatkan Urban. Setelah berjumpa dengan Sultan Muhamad, Urban bersedia untuk membantu Baginda dan berjanji untuk membuat meriam.
- Sepanjang proses penaklukan Kota Konstantinopel, ramai penduduk dan pembesar Kota Konstantinopel telah memeluk agama ISLAM setelah berjumpa dengan Sultan Muhamad. Mereka tertarik dengan cara dan peribadi Sultan Muhamad. Antaranya ialah Ketua Paderi Kota Konstantinopel.
- Teluk Tanduk Emas mempunyai senjata rahsia. Rantai besi yang besar, telah digunakan untuk menghalang musuh untuk menghampiri Kota Konstantinopel. Pernah suatu ketika, Panglima Laut Sultan Muhamad merempuh rantai besi tersebut dengan 3 buah kapal sekaligus, tetapi masih gagal memutuskan rantai tersebut. Ini adalah penyebab Sultan Muhamad menggunakan kaedah luarbiasa iaitu dengan melayarkan Kapal Perang di atas daratan. Baginda mendapat ilham ini setelah berbincang dengan para Pembesar dan Panglima. Kapal-kapal ini diluncurkan diatas batang-batang kayu yang telah dilumur dengan darah dan lemak haiwan. Ia dilakukan pada waktu malam, dan ketika angin bertiup kencang. Ini memudahkan lagi proses-proses pemindahan kapal melalui daratan. Mengikut sumber, lebih kurang 70 - 72 buah kapal Kerajaan Usmaniah telah berjaya dipindahkan melalui daratan.


Sabda Rasulullah s.a.w. ketika menggali Parit Khandaq;

“..Konstantinopel akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera……” (Hadis riwayat Imam Ahmad)


Setelah 800 tahun, hadith tersebut telah menjadi kenyataan. Sultan Muhamad adalah sebaik-baik raja dan para tentera pada zaman pemerintahannya adalah sebaik-baik tentera yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w.


Baginda pernah menyamar untuk meninjau kehidupan rakyatnya bersama beberapa orang Pembesar dan Syeikh Shamsuddin Al Wali, iaitu ulama' yang menjadi rujukan Baginda. Sepanjang tempoh penyamaran Baginda, Baginda berpuas hati dengan peribadi dan tingkahlaku rakyat di negara Baginda.


Setelah manakluk Kota Konstantinopel, Baginda telah menukar Gereja terbesar di Kota tersebut menjadi Masjid yang diberi nama Aya Sofea. Sewaktu pemilihan untuk melantik Imam, untuk solat Jumaat buat kali pertama di Masjid tersebut, Sultan Muhamad telah meminta semua tentera termasuk Baginda sendiri, berdiri. Baginda mengajukan beberapa soalan.


1) "Siapakah diantara kita yang pernah meninggalkan solat fardhu sejak baligh, sila duduk". Namun tiada seorangpun yang duduk, kerana semua tenteranya tidak pernah sekalipun meninggalkan solat fardhu.

2) "Siapa diantara kita yang pernah meninggalkan solat rawatib, sila duduk". Kali ini, sebahagian daripada tenteranya duduk.

3) Sultan Muhamad bertanya lagi, " Siapa diantara kita yang pernah meninggalkan solat sunat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk". Dan akhirnya, hanya Sultan Muhamad Al-Fateh seorang sahaja yang berdiri.


Sultan Muhamad AL-Fateh adalah seorang kuat beribadat dan bertakwa. Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat sunat rawatib, dan solat sunat tahajjud sejak baligh. Baginda juga dikatan sebagai seorang pemerintah yang suka mengikut cara Rasulullah, terutama dalam strategi peperangan. Baginda juga tawadhuk dan merendah diri. Baginda menganggap semua orang adalah sama rata. Baginda pernah bersama-sama dengan rakyat dan tentera Baginda untuk membina benteng Rumeli Hissari.


Andai inginkan maklumat yang lebih lanjut, boleh rujuk pada yang lebih arif, ya.


Sekian, wassalam


*UKHUWWAH FILLAH ABADAN ABADA*

3/08/2011

Indahnya S.A.B.A.R


Assalamua'laikum dan Salam Sejahtera buat semua.


Sesekali bicara tentang ujian. Semua orang ada ujian tersendiri. Setiap ujian diberi sesuai dengan tingkat imannya. Semakin berat ujian, semakin tinggi darjat disisi Tuhan. Bagaimana mengatasi ujian? Bergantung kepada individu itu sendiri. Ada yang menganggap ujian itu satu musibah. Ada juga yang menganggap ujian itu satu anugerah, pemberian Tuhan sekalian alam.


Ramai yang mudah berkata "sabar ye?" apabila orang lain ditimpa masalah, tapi apabila diri sendiri diuji dengan ujian yang amat dahsyat, masihkah lagi perkatan sabar dapat bertahan dalam diri?


Ayuh! kita belajar bagaimana ingin membuah sabar.


Meminjam peribahasa "lain lubuk lain ikan" disamakan dengan "lain orang lain ujiannya".
Setiap ujian yang ALLAH beri berbeza-beza tertakluk pada kemampuan hamba-Nya. Lupakah kita pada firmannya?


"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdo'a): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang yang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir." - Surah Al-Baqarah, 286


Lihat! Allah itu Maha Penyayang lagi Maha Pengasih, Dia tidak akan timpakan kita dengan sesuatu yang kita tak mampu. Dia juga tidak akan jadikan suatu ujian itu sia-sia tanpa ada hikmah disebaliknya.

Ujian Rasulullah


Kita singkap kembali sirah, baginda Nabi Muhammad s.a.w, ujian yang menimpa baginda sangat hebat.


Bermula semasa lahir, baginda sudah kehilangan ayahnya, kemudian ibunya, datuknya, disusuli bapa saudaranya, sehinggalah isterinya yang tercinta, Siti Khadijah. Orang-orang yang baginda kasihi sudah mengadap Illahi.


Ini belum lagi termasuk ujian dalam menyebarkan Islam untuk sampai kepada kita pada hari ini, bermacam-macam ujiannya.
Dibaling najis, gigi baginda patah dalam satu peperangan, dipulau dan bermacam-macam lagi tekanan yang baginda hadapi.
Tapi ujian itu tidak pernah menghalang baginda supaya menjadi orang sabar.

Cuba kita renungkan kembali di zaman baginda s.a.w dahulu tiada handphone, tiada facebook, tiada yahoo messenger dan tiada kemudahan internet seperti yang kita ada pada hari ini, tapi lihatlah kerana kecekalan, kesabaran baginda dan para sahabat, Islam sampai kepada kita hari ini dan kita mengenal Allah dan merasa indahnya iman.


Mungkin ada sesetengah mengatakan bahawa baginda dapat menghadapi ujian-ujian tersebut kerana baginda merupakan seorang Rasulullah.


Mengapa pula begitu, baginda juga manusia biasa seperti kita, apa yang membezakan ialah baginda mempunyai keimanan yang benar-benar mantap.


Begitu juga dengan ujian yang baginda hadapi sesuai dengan kemampuan baginda.

Ujian yang hebat untuk manusia yang hebat! Kita bagaimana?

Bicara tentang iman


Iman itu ialah ketaqwaan kepada Allah, penuh khauf dan raja'. Jadi apabila kita ditimpa ditimpa sesuatu musibah atau ujian pintalah kepada Allah agar dibesarkan iman untuk kita hadapinya bukan diminta dikecilkan masalah yang kita hadapi.


Kita boleh mengatasi segala ujian yang Allah berikan dengan tenang jika kita punyai pergantungan yang tinggi kepadaNYA.


Oleh itu apa jua masalah yang ada, muhasabah kembali hubungan kita dengan Allah, renungkanlah kembali.


Adakah kita telah menjaga sebaik-baiknya hubungan kita dengan-Nya? InsyaAllah jika kita jaga hubungan kita dengan Allah, Allah akan jaga hubungan kita dengan yag lain. Allah akan bantu kita dari segenap sudut yang kita tak sangka-sangka.


Tapi kalau saya dah jaga hubungan dengan Allah sebaiknya macammana pula?


Jika begitu, kita perlu muhasabah kembali, mungkin tanpa kita sedari ada hak-hak dengan Allah kita tak tunaikan, begitu juga dengan hubungan sesama manusia.


Dan jika dah jaga semuanya, itulah dinamakan ujian sama ada kifarah dosa-dosa lepas atau peluang kita merebut pahala dan meningkatkan iman. Bukankah kita ini hanya manusia?
Jangan pernah lupa bahawa kita adalah hamba Allah s.w.t. Jadi, kita layak diuji kerana kita hanyalah hamba-Nya.


Jadilah hamba yang bersyukur.


Apa jua yang ada dalam hidup, syukurilah, belajarlah jadi orang yang sentiasa bersyukur. InsyaAllah masalah-masalah yang kecil tidak akan timbul, dan kita akan miliki sifat sabar.
Rasulullah s.a.w, walaupun dijamin syurga tapi Baginda s.a.w, tetap menunaikan solat dan ibadah malam sampai kakinya bengkak-bengkak.


Dalam satu hadis, apabila ditanya Aisyah r.a, mengapa Baginda beribadah malam sehingga kakinya bengkak sedangkan baginda sudah dijamin syurga, Baginda menjawab dengan tenang, "Aku ingin jadi hamba yang bersyukur".


Salam mujahadah membuah sabar.




*UKHUWWAH FILLAH ABADAN ABADA*