10/28/2009

GASTRIK (yang kerap terjadi di kalangan pelajar)

DIPETIK DARI http://www.prn2.usm.my/mainsite/bulletin/kosmik/2000/kosmik5.html


Gastrik dan ulser

Antasid adalah kumpulan produk farmaseutikal yang digunakan untuk merawat masalah tidak hadam, perut yang tidak selesa selepas memakan makanan yang banyak, sakit atau pedih hulu hati dan penyakit ulser peptik.

Apakah sistem Gastrousus?

Sistem gastrousus dikenali juga sebagai sistem penghadaman. Ia terbahagi kepada bahagian atas dan bawah. Sistem penghadaman bahagian bawah terdiri daripada esofogus, perut, deudenum, jejunum dan ileum.

Dalam keadaan normal, esofogus menyalurkan makanan dari mulut ke dalam perut melalui proses peristalsis (pengecutan dan pengenduran otot). Di hujung bahagian bawah esofogus terdapat sfinkter yang membenarkan dan mengawal makanan masuk ke dalam perut serta menghalang kandungan dalam perut untuk masuk semula ke dalam esofagus. Proses di mana makanan dalam perut masuk semula ke dalam esofogus dikenali sebagai refluks.

Perut terdiri daripada dua bahagian: proksimal dan distal yang berfungsi untuk mengosongkan bahan yang berbentuk cecair dan pepejal. Di perut terdapat sfinkter yang mengawal pengosongan perut. Perut yang mengeluarkan beberapa jenis rembesan seperti enzim pepsin dan asid hidroklorik yang menjadikan jus dan cecair gastrik yang diperlukan untuk mencerna makanan. Rembesan cecair gastrik berlaku dalam beberapa keadaan atau fasa. Dalam fasa sefalik, rembesan perut dapat dihasilkan biarpun ketika seseorang sedang berpuasa. Dalam fasa gastrik, kehadiran makanan dalam perut akan merangsang rembesan perut. Satu lagi fasa ialah intestinal. Dalam fasa ini, rembesan boleh direncat atau dirangsang oleh beberapa jenis bahan kimia.

Faktor merangsang dan merencat rembesan perut

Terdapat beberapa bahan kimia dalam perut yang boleh merangsang penghasilan cecair atau rembesan perut. Antaranya ialah asetilkolin, hormon gastrin, histamin dan enzim protein kinase. Bahan-bahan kimia ini dihasilkan daripada rangsangan bahan seperti asid amino, peptid, alkohol dan kalsium.

Sebaliknya, tedapat beberapa bahan yang boleh merencat rembesan perut. Antaranya ialah bahan berlemak, larutan yang tinggi kepekatannya dan kandungan gula yang tinggi dalam darah. Rembesan perut boleh menghakis dan mencederakan lapisan dalam perut. Namun, lapisan gel mukus yang dihasilkan dalam perut mampu melindungi perut daripada sebarang kecederaan dan dengan cepat. Proses ini biasanya memakan masa sehingga 30 minit. Proses pertahanan dan pembaikan lapisan perut dan usus merupakan faktor utama yang menentukan kejadian ulser peptik.

Bahagian duodenum menerima dan menyimpan makanan yang telah dihadamkan. Makanan itu kemudiannya disalurkan ke bahagian distal perut. Di sini rembesan gastrik bercampur dengan makanan sebelum disalurkan ke bahagian duodenum (bahagian atas usus kecil). Kadar pengosongan perut dipengaruhi oleh beberapa perkara seperti hormon, larutan yang pekat, larutan berasid, bahan berlemak dan perut yang distensi (kembung).

Perut sentiasa terdedah kepada persekitaran luar kerana pelbagai bahan dapat masuk ke dalamnya. Inflamasi atau radang yang akut (segera) atau kronik (berpanjangan) dapat berlaku kepada sistem gastrousus jika mekanisme pertahanan gagal mengawal keadaan.

Jenis gangguan sistem gastrousus

Terdapat dua masalah utama yang berlaku kepada sistem gastrousus:

a) Masalah akut pada bahagian atas sistem gastrousus

Refluks gastroesofagus
Aliran kandungan daripada perut atau deudenum ke bahagian esofagus. Kesannya bergantung kepada campuran asid, pepsin, garam hempedu dan enzim.

Gastritis
Inflamasi pada bahagian lapisan perut. Antara perkara yang menyebakan keradangan ialah ubat, termakan bahan yang menghakis atau tekanan emosi.

Esofagitis
Inflamasi pada bahagian esofagus akibat aliran berlawanan kandungan di dalam duodenum. Kandungan ini mungkin mengandungi hempedu enzim atau alkali.

Dispepsia (bukan ulser)
Ketidakselesaan bahagian atas abdomen yang sekejap-sekejap selepas makan. Masalah ini dikaitkan dengan gangguan fungsi atau keupayaan penghadaman.

Ulser akibat ubat dan bahan kimia
Hakisan dan kecederaan pada bahagian lapisan perut dan usus. Bahan-bahan seperti ubat, alkohol, kafein dan asap rokok boleh menyebabkan keadaan ini.

Ulser akibat tekanan
Hakisan dan kecederaan pada bahagian lapisan perut (bahagian utama), duodenum dan esofagus akibat tekanan emosi.

b) Masalah kronik pada bahagian atas sistem gastrousus

Gastritis kronik
Berlaku kecederaan berpanjangan yang boleh memberi kesan negatif kepada fungsi perut untuk menghasilkan rembesan bagi proses penghadaman. Terdapat kaitan yang rapat antara masalah ini dengan tabiat merokok.

Penyakit ulser peptik
Secara umum, ulser dalam perut dan duodenum dikenali sebagai ulser peptik. Ini merupakan masalah kronik tetapi kadangkala pesakit boleh mendapat serangan akut (secara tiba-tiba). Kajian menunjukkan bahawa ulser peptik disebabkan oleh kuman Helicobacter Pylori. Kuman ini kerap hadir bila berlaku keradangan pada bahagian lapisan perut.

Selain itu, ia ada kaitan dengan kesan menghakis asid dan pepsin. Bahagian yang paling kerap menghadapi masalah ini ialah duodenum dalam perut. Masalah ulser peptik membawa implikasi kesihatan dan ekonomi yang serius. Kos rawatan agak mahal kerana ia melibatkan kemasukan ke haspital, kos profesional kesihatan dan kos ubat-ubatan serta kos daripada sudut kehilangan produktiviti akibat tidak dapat bekerja dalam tempoh yang lama.

Ulser gastrik
Merujuk kepada ulser perut. Pesakit mungkin mempunyai kandungan asid yang rendah atau normal. Ulser gastrik peringkat primer dikategorikan oleh rembesan asid yang sedikit, manakala ulser gastrik sekunder akibat ulser duodenal dikategorikan oleh rembesan asid yang tinggi. Pesakit sering merungut kesakitan dan pendarahan berlaku pada bahagian gastrousus. Darah boleh dikesan dalam muntah atau najis.

Kesakitan dirasakan dalam tempoh 30 hingga 60 minit selepas makan dan kekal selama 60 hingga 90 minit. Ini kerana makanan yang masuk ke dalam perut akan mengembangkan bahagian perut serta merangsang rembesan asid. Pesakit akan kerap berasa sakit apabila makan dan ini akan membuatkan pesakit tidak mahu makan dan mengakibatkan kehilangan berat badan.

Ulser duodenal
Ia disebabkan oleh rembesan asid dan pepsin yang terlalu banyak. Pesakit berasa sakit dua hingga tiga jam selepas makan dan boleh berterusan sehingga waktu makan yang selanjutnya. Ia berlaku apabila perut kosong. Sebaliknya pesakit ulser duodenal mempunyai selera makan yang baik dan peningkatan berat badan berlaku akibat pengambilan makanan yang kerap untuk mengurangkan atau mencegah rasa sakit.

Antara faktor yang menyebabkan ulser ialah gaya hidup, merokok, kafein, alkohol, tekanan, asid dan pepsin, dan kuman bakteria Helicobactor pylori.

Rawatan

Pesakit boleh memilih sama ada untuk merawat sendiri atau merujuk kepada doktor. Kesemua in bergantung kepada tahap serta jenis masalah yang dialami oleh individu. Jika rungutan berkaitan dengan maslah bahagian atas sistem gastrousus seperti gastritis akut tanpa pendarahan dan redluks, pesakit boleh mengamalkan swa-pengubatan dengan berjumpa ahli farmasi dan mendapatkan nasihat serta ubat yang sesuai. Ubat dalam kumpulan antasid hanya boleh disarankan jika pesakit mengalami serangan akut atau maslah tersebut disebabkan oleh jenis dan jumlah makanan yang dimakan, pengambilan minuman beralkohol atau tekanan emosi.

Individu yang mengalami masalah yang akut tetapi terdapat tanda-tanda yang menunjukkan berlaku kecederaan yang teruk pada bahagian lapisan perut, pesakit tersebut harus dirujukkan kepada doktor. Pemerhatian doktor sangat penting jika individu mengalami gangguan yang kronik atau menghidap penyakit ulser. Ini penting kerana pesakit mungkin mengalami masalah lain seperti kanser pada bahagian perut atau duodenum. Gastritis akut yang berlaku berulang-ulang boleh mengakibatkan ulser gastrik.

Beberapa kelas ubat-ubatan boleh digunakan bergantung kepada jenis dan tahap masalah tersebut. Secara ringkas, ia terdiri daripada kumpulan antasid, kumpulan antibiotik, kumpulan antagonis (atau penghalang) reseptor H2, penghalang pam asid dan ubat-ubatan pelindung lapisan mukosa.

Dengan adanya pengetahuan tentang proses berlaku gastitis dan ulser, faktor penyebab dan rawatan yang tepat, masalah yang dihadapi oleh individu boleh dirawat.

10/26/2009

RENUNGAN BERSAMA


Seorang Guru taman kanak-kanak telah mengadakan satu "permainan". Si Guru telah menyuruh tiap-tiap anak muridnya membawa satu beg plastik transparen bersama dengan beberapa biji kentang. Kentang-kentang tersebut akan di beri nama berdasarkan nama orang-orang yang dibenci, jumlah kentangnya tidak ditentukan berapa... bergantung jumlah orang-orang yang dibenci.

Pada hari yang tersebut masing-masing murid membawa kentang dalam beg plastik. Ada yang berjumlah 2, ada yang 3 bahkan ada yang 5. Sepertimana perintah si guru mereka, tiap-tiap kentang di beri nama dengan nama-nama orang yang dibenci. Seterusnya murid-murid dikehendaki membawa beg plastik berisi kentang tersebut kemana saja mereka pergi,
bahkan ke tandas sekalipun, selama 1 minggu.

Hari berganti hari, kentang-kentang pun mula menjadi busuk, murid-murid mulai mengeluh, apalagi yang membawa 5 buah kentang, selain berat dan baunya juga tidak menyenangkan.

Setelah satu minggu murid-murid tersebut berasa lega kerana penderitaan mereka akan segera berakhir. Si Guru bertanya: " Bagaimana rasanya membawa kentang-kentang tersebut selama 1 minggu ?"

Keluarlah keluhan dan rungutan dari murid-murid tersebut, secara umumnya semua tidak senang dan selesa ketika membawa kentang-kentang busuk tersebut terutamanya ke mana sahaja mereka pergi. Si Guru pun menjelaskan apa erti dari " permainan " yang mereka jalankan.

Si Guru berkata : " Seperti itulah kebencian yang selalu kita bawa-bawa apabila kita tidak dapat memaafkan orang lain. Busuk dan tidak menyenangkan kerana membawa kentang busuk tersebut kemana saja kita pergi. Itu baru hanya satu minggu. Bagaimana jika kita membawa (kentang2 busuk) kebencian itu seumur hidup? Alangkah tidak menyenangkan dan tersiksanya ..."

pengajaran daripada cerita ini:

Janganlah kita menyimpan perasaan benci didalam hati kita, kerana ia hanya menambahkan lagi kerosakan dan menjdai barah yang akan membawa dir, sedangkan ia boleh dihapuskan dengan memafkan kesalahan orang lain terhadap kita... Walaupun hakikatnya, menyatakan maaf untuk satu masalah yang amat berat untuk kita lupakan adalah sesuatu yang sukar dan mustahil untuk kita lakukan, tapi, apa salahnya kalau kita mencuba.. bukankah ALLAH sendiri bersifat pemaaf, sedangkan Nabi ampunkan ummatnya, inikan pula kita, hanya pacar yang hina, yang penuh dengan dosa... Sekurang-kurangnya, jika kita sudi berikan kemaafan kepada orang, insya'ALLAH, ada ganjaran yang lebih baik untuk kita. Jadi, marilah sama-sama kita bermaaf-maafan, tak perlu tunggu hari raya. (^_^)


Moga bermanfaat...
*********************************************
"ORANG MUKMIN ADALAH BERSAUDARA, OLEH ITU IA TIDAK BOLEH MENINGGALKAN MEMBERI NASIHAT PADA SETIAP MASA:

(Hadith Riwayat Ibnu Najar)

GETTING BETTER

Assalamua'laikum... Apa khabar sahabat-sahabat semua? Doa dan harapan, semoga semuanya sentiasa dilimpahi rahmat dari yang Esa..

Hari ni, ada perkara penting yang ingin disampaikan.. Ia adalah berkenaan dengan pelancaran Yahoo!Group untuk Alumni SMK Keroh... Sukacita dimaklumkan, pada tarikh 26 Oktober 2009, Alumni SMK Keroh telah melancarkan Yahoo!Group Alumnikroh sebagai salah satu medium perhubungan yang insya'ALLAH, bakal membawa kita bergerak lebih jauh, seiring dengan perkembangan teknologi yang semakin pesat. (^_^)

Dikesempatan ini, saya dengan sukacitanya, mewakili Pimpinan Alumni SMK Keroh ingin menjemput sahabat-sahabat semua untuk menyertai Yahoo!Group ini..
Untuk memudahkan sebarang urusan, sila hubungi saudara Mohd Izwan bin Abdullah ditalian 013-2755418... Atau menghantar email ke alamat : alumnikroh@gmail.com atau juga boleh menghantar maklumat ke ukhwah127_07@yahoo.com.my bagi memudahkan segala urusan.. jangan lupa sertakan nama, dan batch tamat pengajian di SMK Keroh, ya.

Sekian dimaklumkan, wassalam..

10/18/2009

INFO

Syarat Am permohonan kemasukan ke IPTA bagi Program Pengajian Lepasan SPM/Setaraf adalah seperti berikut :-

Warganegara Malaysia dan
Lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau setaraf dengan mendapat sekurang-kurangnya LIMA (5) kepujian termasuk Bahasa Melayu.

Program berikut adalah dikhaskan untuk Bumiputera sahaja:
Semua program Asasi di UIAM;
Semua program Asasi Sains di UM; dan
Semua program pengajian di UiTM.

Syarat Am permohonan kemasukan ke IPTA bagi Program Pengajian Lepasan STPM/Setaraf adalah seperti berikut :-

Lulus Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) / Setaraf dengan mendapat kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu atau Kepujian Bahasa Melayu Kertas Julai.
dan
Lulus Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun 2008 dengan mendapat sekurang-kurangnya PNGK 2.00 dan mendapat sekurang-kurangnya :
Gred C (NGMP 2.00) dalam mata pelajaran Pengajian Am.
dan
Gred C (NGMP 2.00) dalam dua (2) mata pelajaran lain.
atau
Lulus peperiksaan Matrikulasi tahun 2008 dengan mendapat sekurang-kurangnya PNGK 2.00.
atau
Lulus Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) tahun 2008, 2007 atau 2006 dengan mendapat sekurang-kurangnya Pangkat Jayyid.
atau
Memiliki kelulusan Diploma/Setaraf atau kelulusan lain yang diiktiraf setaraf dengannya oleh Kerajaan Malaysia dan diluluskan oleh Senat IPTA;
atau
Lulus peperiksaan STPM Tahun 2007 dan sebelumnya dengan mendapat sekurang-kurangnya Gred C (NGMP 2.00) dalam tiga (3) mata pelajaran termasuk Pengajian Am atau Matrikulasi Tahun 2007 dan sebelumnya dengan mendapat sekurang-kurangnya PNGK 2.00
dan
Mendapat sekurang-kurangnya Tahap 1 (Band 1) dalam Malaysian University English Test (MUET).

MOGA BERMANFAAT BUAT ADIK-ADIK YANG SUDAH MELANGKAH KAKI MENINGGALKAN ALAM PERSEKOLAHAN DAN INGIN MENYAMBUNG PELAJARAN KE IPT.

10/09/2009

renungan bersama

Assalamua'laikum.. Apa khabar saudara seakidah sekalian? Apa khabar adik-adik, sahabat-sahabat alumni SMK Keroh yang dikasihi kerana ALLAH? Harapan dan doa, semoga sihat dan ceria dalam rahmatNYA, insya'ALLAH.

Alhamdulillah, setelah agak lama menyepikan diri, tidak berpeluang untuk meluangkan masa menjenguk blog rasmi ini, hari ini, bersyukur kehadrat ilahi, kerana diberi peluang dan ruang untuk berkongsi sedikit ilmu dengan sahabat sekalian.. Alhamdulillah.

Hari ini, teringin rasanya berkongsi sebuah kisah, iaitu kisah Nabi Sulaiman.. Moga bermanfaat untuk semua. "Sampaikanlah walau satu ayat"

************************************************
NABI Sulaiman dikurniakan Allah dengan pelbagai keistimewaan bagi meyakinkan umatnya pada masa itu kepada kekuasaan dan kebesaran-Nya. Baginda bukan saja mampu berinteraksi sesama manusia, malah dengan haiwan dan jin. Inilah keistimewaan yang diberikan Allah kepada Nabi Sulaiman dalam melaksanakan misinya menyebarkan ajaran Islam kepada umatnya.

Dikisahkan, Nabi Sulaiman berkelana antara langit dengan bumi hingga tiba di satu samudera yang bergelombang besar. Untuk mencegah gelombang, Baginda memerintahkan angin agar tenang, dan tenang pula samudera itu. Kemudian Nabi Sulaiman memerintahkan jin menyelam dalam lautan itu hingga ke dasarnya. Di situ, jin melihat sebuah kubah daripada permata putih tanpa lubang, kubah itu diangkat ke atas lautan itu dan ditunjukkannya kepada Nabi Sulaiman. Melihat kubah tanpa lubang penuh permata dari dasar laut itu Nabi Sulaiman menjadi terlalu hairan.
“Kubah apakah gerangan ini?" fikirnya.
Nabi Sulaiman kemudian meminta pertolongan Allah untukmembuka tutup kubah itu. Baginda terkejut, apabila melihat seorang pemuda dalamnya.
“Siapakah kamu? Adakah kamu kelompok jin atau manusia?" tanya Nabi Sulaiman kehairanan. "Aku adalah manusia," jawab pemuda itu perlahan-lahan. “Bagaimana engkau berada dalam keadaan begini,” tanya Nabi Sulaiman lagi.

Pemuda berkenaan kemudian menceritakan riwayatnya hingga boleh tinggal dalam kubah dan berada dasar lautan. Diceritakan, ibu pemuda itu sudah dan tidak berdaya untuk bergerak. Pemuda itulah yang memapah dan mengendong ibunya ke mana saja dia pergi. Si anak selalu berbakti kepada orang tuanya dan ibunya pula tidak putus-putus mendoakannya. Antaranya, ibu itu selalu mendoakan anaknya diberi rezeki dan perasaan puas diri. Semoga anaknya ditempatkan di suatu tempat yang tidak di dunia dan tidak pula di langit.

Nabi Sulaiman kemudian bertanya kepada pemuda itu:“Bagaimana kamu berbakti kepada mereka?”
Pemuda itu mula bercerita: “Saya menjaga mereka hingga mereka tua. “Kedua-dua ibu bapa saya sangat taat kepadaTuhan. Sejak kecil hingga dewasa, saya dijaga dan dipelihara dengan sempurna. “Mereka selalu memohon kepada Tuhan supaya saya menjadi orang yang taat kepada perintah Allah. Ayah saya meninggal dunia pada usia tuanya dalam penjagaan saya. “Ibu saya pula lemah dan sering sakit-sakit. Matanya buta dan kakinya lumpuh. “Sayalah satu-satunya yang menjaga segala keperluannya seperti membersihkan badannya dan memandikannya. “Segala keperluan makan dan minumnya saya uruskan. “Saya menyuap makanan dan minuman ke mulutnya seperti dia suapkan saya ketika kecil. “Saya selalu bermohon kepada Tuhan. Ibu saya juga bermohon agar saya dikurniakan ketenangan dan kebahagiaan dalam hidup ini. “Ibu saya juga bermohon kepada Tuhan agar selepas kematiannya nanti saya diberi tempat khusus yang letaknya bukan di bumi dan bukan juga di langit,” katanya.
Pemuda itu meneruskan ceritanya : “Selepas ibuku meninggal dunia, aku berjalan di pantai. “Dalam perjalanan, aku melihat sebuah tempat yang diperbuat daripada permata. “Aku mendekatinya dan terbukalah pintu kubah itu. Aku masuk ke dalamnya.”

Nabi Sulaiman kagum dengan cerita pemuda itu. Baginda ingin mengetahui lebih lanjut latar belakang pemuda ini. “Kamu hidup pada zaman mana?” tanya Nabi Sulaiman.
Jawabnya: “Saya hidup pada zaman Nabi Ibrahim.”
Nabi Sulaiman mengira-ngira berapa usia pemuda itu. Alangkah terkejutnya kerana umur pemuda itu hampir mencecah 1,400 tahun. Namun wajahnya berseri-seri, tiada uban pada rambutnya, kulitnya masih tegang.
“Bagaimanakah saudara dapat merasai nikmat dan mendapat rezeki daripada Tuhan dalam kubah ini?” tanya Nabi Sulaiman.
Pemuda itu menjawab: “Selepas saya berada disini, barulah saya tahu Tuhan telah menjadikan syurga untuk saya dalam kubah ini.”
Nabi Sulaiman bertanya lagi “Tunjukkan pada saya syurga itu.”
Pemuda itu diam seketika, kemudian dia menadah tangannya memohon kepada Tuhan. Tiba-tiba suasana kubah yang gelap itu menjadi terang-benderang indah bercahaya. Terpampang pemandangan yang begitu indah di depan Nabi Sulaiman dan tenteranya. Sungai mengalir tenang, kebun bunga yang subur, pohon merendang, kolam madu dan susu terpancar indah. “Wahai pemuda, ini syurga! Saudara mendapat anugerah daripada Tuhan,” kata Nabi Sulaiman. “Ini kurnia Tuhan kepada saya. Saya mendapat rezeki daripada pelbagai sumber dan buah-buahan beraneka rasa dan jenis. Semua makanan yang saya ingini terhidang,” jawab si pemuda. Nabi Sulaiman yang dikenali boleh berjalan antara bumi dengan langit kagum dengan pemuda itu. “Bagaimana engkau boleh hidup dalam kubah didasar lautan itu?" tanya Nabi Sulaiman ingin mengetahui lebih lanjut. Pemuda itu menjelaskan: “Dalam kubah itu sendiri, aku tidak tahu di mana aku berada. Di langit atau di udara. “Namun, Allah tetap memberi rezeki kepadaku ketika tinggal dalam kubah itu."
Nabi Sulaiman bertanya lagi: “Bagaimana Allah memberi makan kepadamu?" Pemuda itu menjawab: "Jika aku lapar, Allah menciptakan pohon dalam kubah, dan buahnya yang aku makan. “Jika aku haus, maka keluarlah air yang teramat bersih. Lebih putih daripada susu dan lebih manis daripada madu."
Nabi Sulaiman ingin mengetahui lagi: “Bagaimana engkau mengetahui perbezaan siang dan malam?" Jawab pemuda itu: “Apabila terbit fajar, maka kubah itu menjadi putih. “Dari situ aku mengetahui kalau hari itu sudah siang. Apabila matahari terbenam, kubah akan menjadi gelap dan aku mengetahui hari sudah malam."
Nabi Sulaiman mendengar penerangan pemuda itu dengan penuh kagum. Baginda seolah-olah tidak mahu berhenti mendengarnya. “Cukuplah sampai di sini. Sekarang saya harus bersembahyang bagi mengadap Tuhan,” kata pemuda itu mengakhiri perbualannya. Selesai menceritakan kisahnya, pemuda itu berdoa kepada Allah, maka pintu kubah itu tertutup kembali. Pemuda itu terus tinggal dalamnya.

Itulah balasanAllah terhadap seorang pemuda yang berbakti kepada kedua-dua orang tuanya. Allah memberikan kedudukan tinggi kepada ibu bapa dan menyuruh setiap anak berbuat baik kepada mereka. Ini jelas diterangkan melalui firman Allah bermaksud:
“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa." (Surah al-Isra’,ayat 23)

Berbakti kepada ibu bapa adalah berbuat baik, mentaati, melaksanakan hak, jauh daripada perilaku menyakiti hati dan kehidupan mereka. Taat kepada ibubapa adalah amalan wajib ditunaikan setiap anak. Ketaatan itu, adalah cara paling baik mendekatkan diri kepada Allah kerana taat kepada ibu bapa bererti mentaati perintah-Nya juga. Berbakti kepada ibu bapa membawa berkat.

Daripada Anas bin Malik, Rasulullah saw bersabda bermaksud: “Sesiapa yang ingin dipanjangkan umurnya dan ditambah rezekinya, maka hendaklah dia berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali silaturahim."