7/01/2009

satu perkongsian

S: Apakah yang perlu dilakukan sekiranya orang yang telah bernazar telah terlupa apa yang dinazarkannya. Sebagai contoh, ‘ aku bernazar untuk berpuasa selama 3 hari sekiranya aku lulus cemerlang di dalam peperiksaan SPM akan datang”.
Sebelum ana menjawab soalan, sebaiknya ana menerangkan serba sedikit mengenai nazar bagi kita memahami apakah itu nazar.
Takrif An-nuzur adalah kata jamak bagi nazr. Dari sudut bahasa ia bererti: janji melakukan kebaikan ataupun keburukan.
Dari sudut syarak ia bererti: janji melakukan kebaikan secara khusus.
Dalam istilah fuqaha’ ia bererti: mewajibkan diri melakukan ibadat yang tidak diwajibkan oleh syarak secara mutlak ataupun ibadat yang bergantung kepada perkara lain.
Dalil disyariatkan Nazar
Dalil pensyariatan dan kewajipan melaksanakannya terdapat dalam Al-Quran dan As-Sunnah.
Dalam Al-Quran Allah berfirman sewaktu menyebutkan sifat al-Abrar (orang yang memenuhi janjinya):
Mereka menyempurnakan nazarnya(semasa di dunia) dan takut di hari (akhirat) yang
Azabnya di merata tempat
(Al-Insan: 7)

Dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya
(al-hajj:29)

Dalam hadith Nabi S.A.W yang diriwayatkan oleh bukhari (6317) daripada aisyah r.a daripada nabi s.a.w sabdanya: “Barangsiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia mentaatinya dan barang siapa yang bernazar untuk melakukan maksiat kepada-Nya maka janganlah dia melakukannya”
Baginda s.a.w juga bersabda tentang orang-orang yang tidak menunaikan nazar mereka:
“ Sesungguhnya selepas kamu akan wujud suatu kaum yang melakukan pengkhianatan dan tidak amanah menyaksikan sesuatu kejadian tetapi tidak mahu memberikan kesaksian, melakukan nazar tetapi tidak menunaikannya dan jelas kelihatan pada mereka lemak badan (kerana gemuk)”.
(Riwayat al-bukhari (2508) daripada imran bin hushain r.a)
Maksud “ jelas kelihatan pada mereka lemak badan adalah disebabkan banyak makan dan sentiasa berehat serta meninggalkan jihad. Digunakan juga sebagai sindiran terhadap perbuatan bermegah dengan perhiasan dunia.

Hukum Nazar
Nazar adalah disyariatkan dan ia termasuk ibadat. Oleh itu, para fuqaha’ menyatakan:ia tidak sah dilakukan oleh orang kafir.
Namun adalah lebih afdhal seseorang itu melakukan ibadat yang mahu dilakukannya tanpa mewajibkan perkara itu ke atas dirinya dengan menjadikannya sebagai nazar.
Sedekah yang menjadi ibadat kepada Allah secara sukarela adalah lebih afdhal daripada sedekah yang diwajibkan dengan sebab nazar.
Dalil, hadith yang dirawayatkan oleh bukhari (6234)dan muslim (1639):
Nabi s.a.w melarang daripada melakukan nazar. Sabda-nya: “ Sesungguhnya ia tidak akan menolak sesuatupun, tetapi ia hanya akan dilakukan oleh orang yang bakhil.
Maksudnya: nazar-nazar yang tergantung pada sesuatu perkara tidak akan merubah sedikit pun ketentuan qadha Allah. Ia hanyalah jalan untuk mewajibkan diri orang yang bakhil untuk melakukan infaq dan sedekah kerana dia tahu sekiranya ia tidak wajib ke atasnya disebabkan nazar, maka dia tidak mampu mengalahkan dirinya yang bakhil untuk mengeluarkan sedekah tersebut.
Syarat-Syarat Nazar

Secara ringkasnya syarat-syarat itu adalah seperti berikut.

1. Orang yang bernazar
Orang yang bernazar disyaratkan tiga perkara:
i. Islam – Tidak sah nazar orang kafir, kerana orang kafir tidak kelayakan untuk melakukan ibadat. Ini kerana ibadatnya tetao tidak sah selagimana dia kafir.
ii. Taklif – Tidak sah nazar kanak-kanak dan orang orang gila kerana kedua-duanya tiada kelayakan melakukan kewajipan. Sekiranya kedua-duanya mewajibkan diri mereka melakukan ibadat, ia tetap tidak menjadi wajib kerana mereka tiada kelayakan untuk melakukannya disebabkan tiada taklif dari sudut syarak.
iii. Sukarela – Tidak sah nazar orang yang dipaksa kerana Nabi s.a.w telah bersabda:

Tidak diperkirakan daripada umatku kesilapan, kelupaan,dan apa yang dipaksakan ke atasnya”
Riwayat Ibnu Majah(2045) dan ia telah disahihkan oleh Ibnu Hibban dan al-hakim daripada Ibnu Abbas r.a.

Hadith ini bermaksud diangkat daripada mereka hukum dan natijah daripada perkara tersebut.

2. Perkara Yang dinazarkan
Perkara yang dinazarkan hendaklah memenuhi dua syarat berikut:
i. Hendaklah Sesuatu yang dinazarkan itu berupa ibadat. Maka tidak boleh bernazar terhadap perkara yang harus iaitu perkara-perkara yang tidak menghasilkan dosa ataupun pahala apabila dilaksanakan atau ditinggalkan. Kalau seseorang bernazar untuk melakukan perbuatan yang harus ataupun bernazar meninggalkannya seperti makan dan tidur, maka dia tidak wajib melaksanakan atau meninggalkannya dan tidak dikenakan apa-apa keatasanya.

Dalilnya hadith riwayat al-bukhari (6326 ) daripada Ibnu Abbas r.a. katanya:

Sewaktu Nabi s.a.w sedang berkhutbah, tiba-tiba Baginda melihat seorang lelaki sedang berdiri, lalu Baginda bertanya tentang lelaki itu. Para Sahabat menjawab: Dialah Abi israil yang bernazar untuk berdiri dan tidak mahu duduk, tidak mahu berteduh, tidak bercakap dan terus berpuasa. Nabi s.a.w bersabda: “ Perintahkan dia untuk bercakap, berteduh, duduk dan menyempurnakan puasanya”

Baginda memerintahkan Abu Israil menyempurnakan puasanya kerana puasanya termasuk ibadat dia wajib melaksanakan apabila telah bernazar mahu melakukan.

Begitu juga tidak diperkirakan nazar pada perkara yang haram seperti membunuh dan berzina.

Begitu juga pada perkara makruh seperti bernazar untuk meninggalkan sunat rawatib contohnya. Ini kerana melakukan yang haram ataupun makruh bukanlah termasuk dalam usaha mahu mendapatkan keredhaan Allah Azzawajalla.



Rasulullah s.a.w bersabda

Tiada nazar untuk melakukan maksiat kepada Allah.
Riwayat muslim (1641)

Juga telah disebutkan hadith riwayat al-bukhari (6318) daripada Aisyah r.a. sabdanya:

“ Barang siapa yang bernazar unutk melakukan maksiat kepada Allah maka janganlah dia melakukan maksiat”

Tidak ada nazar melainkan pada perkara untuk mencari Keredhaan Allah” Riwayat Abu Daud (3273)

ii. Perkara yang dinazarkan bukanlah termasuk perkara yang sememangnya telah diwajibkan secara fardhu ain.

Kalau seseorang bernazar untuk menunaikan sembahyang zohor atau untuk mengeluarkan zakat hartanya, maka nazar ini adalah batal kerana ia tiada kesan baru terhadap perkara yang dinazarkan, kerana ia sememangnya telah diwajibkan keatas orang yang bernazar tanpa perlu kepada nazar lagi untuk menjadikan ia wajib. Jadi tiada makna untuk mewajibkannya (melalui nazar)

Kewajipan fardhu kifayah tidak termasuk dalam pengertian kewajipan fardhu ain, maka boleh bernazar dengannya. Seperti jika seseorang bernazar untuk menunaikan sembahyang jenazah ataupun mempelajari ilmu yang memang diwajibkan orang islam mempelajarinya secara fardhu kifayah seperti ilmu perubatan dan perindustrian.

Ini disebabkan nazar tadi telah mengubah perkara yang dinazarkan ini daripada peringkat fardhu kifayah kepada fardhu ain terhadap orang yang bernazar.

J: Sekiranya seseorang tersebut terlupa apa yang dinazarkan itu, seharusnya dia cuba untuk mengingatinya juga. Jika masih tidak mengingatinya juga, sebaiknya seseorang itu berijtihad dengan nilai yang lebih meyakinkannya. Sebagai contoh, seseorang itu bernazar untuk berpuasa selama 3 hari, tetapi dia telah terlupa nilai harinya, maka lebih baik baginya untuk berpuasa dengan nilai yang lebih meyakinnya, yakni dengan melebihkan sedikit jumlah hari untuk dia menunaikan puasanya sebagai contoh selama 5 hari.
Ini adalah kerana, nazar adalah hutang diantara seorang mukmin dan Allah, jadi wajib ditunaikan nazar tersebut. Namun sekiranya masih juga tidak mengingatinya setelah seseorang itu mendapat apa yang diwajibkan keatasnya (dengan nazar), maka nazar tersebut haruslah dibayar dengan kafarah yakni kafarah tersebut adalah sama seperti kafarah sumpah sebagaimana hadith sabda Rasulullah s.a.w.
“ kafarah nazar adalah sama dengan kafarah sumpah”
( Hadith diriwayatkan oleh muslim (1645) daripada uqbah bin ‘Amir r.a )

1. membebaskan seorang hamba yan beriman, lelaki atau perempuan. Hal ini dilakukan jika ada hamba.
2. Memberi makan sepuluh orang hamba faqir miskin. Setiap orang miskin diberikan secupak makanan asasi yang menjadi kebiasaan negeri tersebut. Secupak ialah kadar yang diketahui umum yang lebih kurang seberat 600 gm. Setiap orang miskin itu wajib diberikan hak milik terhadap apa yang telah disebutkan dan tidak memadai dengan menjemput mereka datang makan tengah hari ataupun makan malam ataupun seumpamanya.
3. Memberi kiswah ( pakaian ) untuk sepuluh orang faqir miskin dengan pakaian yang biasa dipakai. Secara kebiasaannya kiswah terdiri daripada baju, seluar, stokin, dan penutup kepala dalam apa bentuk apa sekalipun. Semuanya ini dinamakan kiswah.
Sekiranya dia tidak mampu untuk memenuhi mana-mana satu daripada tiga perkara ini disebabkan dia seorang yang susah maka wajib berpuasa tiga hari. Tidak disyariatkan berturut-turut bahkan dibenarkan die memisahkannya ( menyelangkan harinya )

Rujukan : Fiqhul Manhaj ‘Ala Mazhabil Imam As-Syafie’ Jilid 3 muka Surat 593 karangan Dr. Mustofa al-Khin, Dr Mustofa al-Bugha dan Ali asy-Syarbaji
- Wallahu A’lam -

No comments:

Post a Comment

SAMPAIKANLAH KEBAIKAN, MOGA BERMANFAAT