6/23/2009

Sisters In Islam (SIS) diharamkan?

Muktamar Pas ke-55 yang berlangsung baru-baru ini telah membuat satu resolusi mendesak agar Sisters In Islam (SIS) diharamkan lantas ahli-ahlinya perlu menjalani proses pemulihan bagi memulihkan akidah Islamiyyah mereka yang bersifat ekstrim liberal dan sekular.

Dalam resolusi itu, Pas menggesa agar Majlis Fatwa Kebangsaan menyiasat SIS dan seterusnya mengharamkan organisasi ini jika terbukti aktiviti-aktiviti mereka melanggar syariat Islam yang sebenar.

Usul pengharaman SIS itu memang sudah dijangka akan mengundang pelbagai reaksi dari pelbagai pihak. Ada yang menyokong, malah ramai juga yang menentang usul itu termasuk beberapa anggota Pas sendiri.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), saudara Yusri Mohamad mendesak agar SIS tidak di beri ruang yang lebih untuk publisiti. Beliau sebagai berkata dalam sebuah akhbar alternatif tidak menafikan tujuan penubuhan SIS sebagai sesuatu yang baik, malah beliau mengakui sumbangan dan peranan SIS dalam menjuarai isu-isu wanita Islam. Namun begitu, pokok kepada permasalahan SIS adalah asas kefahaman mereka yang terlihat terlalu ekstrim liberal dan ekstrim sekular. Natijahnya, pendekatan SIS dipandang sebagai bermasalah di kalangan masyarakat Islam.

Bagi pihak SIS, mereka telah mengambil tindakan dengan melancarkan petisyen bagi menentang pengharaman organisasi mereka yang telah lama beroperasi di Malaysia sejak tahun 1988 lagi, namun kemudian bergerak sebagai badan bukan kerajaan yang di daftarkan pada tahun 1993.

Dalam sebuah laporan berita arus perdana, Maria Chin Abdullah, Pengurus Senior SIS menyifatkan resolusi Pas itu sebagai prejudis, tidak demokratik dan ketinggalan. Turut menentang usul itu ialah Tun Mahathir, Senator Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil, sahabat politik dari Pakatan Rakyat, DAP dan beberapa NGO lain yang menyifatkan usul itu telah menafikan kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan yang jelas tercatat di bawah Perkara 10 dalam perlembagaan Malaysia.

Dari perspektif yang lain, selain isu kerajaan perpaduan dan isu kepimpinan ulama vs. professional, isu pengharaman SIS ini telah menyebabkan perselisihan di dalam Pas, hatta dalam Pakatan Rakyat sendiri. Sudah tentu isu-isu ini menjadi bahan pelaris media arus perdana yang dikuasai oleh pihak kerajaan. Mahu tidak mahu, terdapat unsur-unsur politiking dalam nilai berita yang dilaporkan. Sebagai akibatnya,laporan-laporan berita yang disiarkan menggambarkan Islam sebagai agama yang mengongkong dan berfikiran sempit, walhal agama Islam itu bersifat universal.

Walaupun SIS diharamkan, namun ideologi liberalisme mereka akan terus berkembang dan berkembang. Jadi pembasmian dan penularan ideologi Islam liberal di kalangan masyarakat Islam ini harus didahulukan dan diutamakan tetapi bukan dengan cara mengharamkan pertubuhan itu. “Kalau kita mengharamkan SIS secara drastik, ia seolah-olah menutup peluang untuk berdialog dengan mereka sedangkan rangkaian mereka sangat luas dalam dan luar Negara” kata Nor Akmariyah, Naib Presiden (HEWI) Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM). Malah, ada juga yang mengesyorkan supaya SIS menukar namanya supaya agenda perjuangan mereka tidak mengelirukan umat Islam.

PKPIM UIAM tidak bersetuju dengan usul pengharaman tersebut namun kami sependapat dengan ABIM iaitu mengurangkan ruang untuk SIS mendapat liputan yang sangat luas dalam media massa. Ini adalah untuk kemaslahatan masyarakat Islam sendiri supaya tidak terkeliru dengan agenda utama SIS yang mempromosi kesamarataan gender bersandarkan kepada konsep ‘humancentric’ dalam segenap aspek.

Akibat kecewa dengan perangai manusia Islam yang tidak mengamalkan suruhan agamanya dengan betul, Islam di persalahkan sebagai agama yang menindas kaum wanita. Mana mungkin Islam itu agama yang menindas, kerana asal-usul perkataan Islam itu sendiri bermaksud selamat dan sejahtera. Selamat dan sejahtera dari sebarang bentuk ketidakadilan kepada manusia lelaki dan wanita. Dengan kata lain, Islam itu agama yang menjunjung tinggi keadilan sejagat dan mengutuk sebarang bentuk diskriminasi terhadap sesama manusia.

Betullah kata pepatah, ‘agama tidak pernah mengecewakan penganutnya, tetapi, penganut sesuatu agama itu sering kali mengecewakan agamanya.’ Marilah sama-sama kita insafi tentang peranan kita sebagai kaum Muslimin. Adakah kita membanggakan agama Islam di mata masyarakat dunia atau sebaliknya.? Persoalan inilah yang akan mengakhiri penulisan ringkas kali ini. Renung-renungkan. Wallahu’alam.