12/28/2010

NON MUSLIM AKUI KELEBIHAN PUASA


Assalamua'laikum.


Apa khabar sahabat sekalian? Semoga dalam jagaanNYA sentiasa..


Tertarik dengan satu kolum dalam bharian online.


Jom, sama-sama kita baca.


***********
Anna Lim amal puasa, tunggang kuda dan berenang


PERTAMA kali bertentang mata dengan bekas Ratu Cantik Malaysia 1997, Datuk Anna Lim, perasaan kagum dan selesa melihatkan keperibadian wanita itu membuatkan segala-galanya menjadi begitu mudah. Pantas bekerja, profesional di dalam urusan malah dia juga seorang yang menepati masa. Namun, paling mencuri tumpuan, pastinya aset paling berharga dimiliki Lim iaitu kecantikan semula jadi.


“Kecantikan adalah sesuatu yang subjektif namun percayalah, kecantikan seorang wanita pastinya akan lebih terserlah jika memiliki fikiran yang senantiasa positif,” katanya membuka rahsia.


Bagi Lim sendiri, walaupun pada usia sudah mencecah 40 tahun, dia yakin rahsia tubuhnya tidak dimamah usia bermula daripada fikirannya yang sentiasa lapang dan positif. “Itu memang diri saya. Tidak akan sekali-kali membiarkan fikiran dibebani masalah dan saya juga mempunyai perancangan masa depan yang bertindak sebagai pencetus semangat untuk saya berusaha.


“Sentiasa juga meluangkan masa bersosial kerana saya yakin, apabila hati gembira, sekali gus akan menyebabkan wajah awet muda,” katanya ketika ditemui baru-baru ini. Satu lagi rahsia


Lim yang juga isteri kepada ahli perniagaan, Datuk Jeffrey Lim, dia sentiasa meluangkan masa menunggang kuda lima hari seminggu, bersenam atau berenang empat kali seminggu, melakukan yoga atau sekadar berjalan kaki sebagai rutin hidup. “Jika letak kereta di pusat membeli-belah sekali pun, saya akan letakkan kereta jauh dari pintu masuk kerana saya percaya, berjalan itu satu bentuk senaman yang baik untuk kesihatan,” katanya.


Percaya atau tidak, wanita berasal dari Ipoh, Perak, itu juga yakin amalan berpuasa yang diamalkan orang Islam baik untuk menyahkan toksin di dalam badan. Kerana yakin dengan amalan itu jugalah mendorong Lim berpuasa sekurang-kurangnya dua hingga tiga kali seminggu sejak beberapa tahun lalu.


Selain rutin senaman, Lim juga begitu menitik berat pengambilan makanan hariannya, malah dia mengakui tidak mengambil karbohidrat dan lebih banyak mengambil makanan berdaging, sayur dan buah-buahan organik. Kesibukan dengan kehidupan peribadinya menyebabkan ibu kepada sepasang kembar berusia Dominic,8, dan Dorothea,8, dan seorang bayi angkat, Francisco, 2, ini menyediakan jadual harian.


“Saya akan pastikan saya mengikut jadual yang direncanakan kerana kadangkala 24 jam sehari pun tidak cukup untuk menguruskan keluarga dan kerjaya,” katanya yang turut sibuk dengan urusannya di dalam bidang pelaburan hartanah dan sebagai pereka hiasan dalaman. Di waktu senggang, Lim mengakui suka berhibur dan bercuti sama ada bersama suami atau teman rapat. Hobinya yang satu itu juga pencetus untuknya menyiapkan sebuah buku ‘coffee table’ berjudul Magical Moments of Malaysia, diterbitkan pada Julai lalu.


Selain itu, dia juga pernah menghasilkan dua buku bertajuk Beauty & Beyond, A Journey of a Beauty Queen pada 2005 mengisahkan perjalanannya sebagai Ratu Cantik dan Children, The Future of Tomorrow pada 2007. “Saya suka bercerita mengenai kelebihan buku terbaru yang mana dipaparkan mengenai tempat percutian terbaik di negara ini. Ia bukti betapa bangganya saya bergelar anak Malaysia. “Melalui buku itu juga anda akan dapat melihat betapa cantiknya negara ini dan perlu ditunjukkan kepada orang luar.


Malah, orang tempatan juga perlu mengambil peluang untuk meneroka negara sendiri yang kaya dengan sejarah dan kecantikan tersendiri,” katanya yang begitu suka ke The Datai, Langkawi. Bertemu bekas Ratu Cantik tanpa bercerita pengalaman menyertai pertandingan itu pasti tidak lengkap. Kata Lim, pengalaman itu memberinya banyak membantu terutama untuk meningkatkan keyakinan diri. “Tapi ia juga memori yang begitu menyeronokkan tambahan pula ketika itu saya baru berusia 20 tahun, masih mentah namun berpeluang berada di kota besar Los Angeles. “Menghadiri majlis sosial bersama selebriti Hollywood, ia peluang sekali seumur hidup yang tidak akan dialami semua orang,” katanya.


Lim, lulusan Inchbald School of Interior Design, London juga gemarkan cabaran kerana itu beliau menyertai satu lagi pertandingan Ratu Cantik khusus untuk wanita berkahwin, Mrs Malaysia World 2004 di India dan dia berada di kedudukan lima teratas. Sebelum mengakhiri perbualan, Lim yang juga sibuk dengan urusannya mengendalikan bengkel kecantikan melalui Beauty & Fashion Studio bersama rakannya, Amber Chia mengakui bengkel itu menjadi medium untuknya menyalurkan ilmu kepada wanita lain.


“Apa yang dititik beratkan di dalam bengkel ini adalah mengenai keyakinan diri kerana dengan adanya kekuatan itu, setiap orang mampu menghadapi apa saja cabaran tanpa ada sebarang masalah. “Di dalam kehidupan dunia moden ini, wanita juga sentiasa dibebani masalah mengenai keluarga, anak dan suami yang bukan saja boleh memberi tekanan kepada diri.


“Justeru, bengkel ini memupuk sikap yakin diri sekali gus merubah wanita supaya menyuntik imej baru di dalam hidup supaya lebih positif menghadapi masa depan,” katanya.



*UKHUWWAH FILLAH ABADAN ABADA*

12/05/2010

Hidup hanya sementara


Diri dan Sahabat yang dikasihi kerana ALLAH,


Ayuh, kita bergandingan,
dalam meniti denai kehidupan.


Destinasi kita masih jauh di depan,
perjalanan kita banyak liku dan halangan.


Seringkali jatuh tersungkur,
jangan lupa untuk bersyukur.


Jangan sesekali merasa lelah,
aturkan langkah yang lebih gagah.


Kerana DIA sengaja memberi ujian,
untuk kita mengasah keimanan.


Cita kita begitu mulia,
ingin mati di jalanNYA.


Betulkan niat, tanamkan tekad,
dengan izinNYA, kita pasti mampu menggapai cita.


Ayuh, kita kejar cintaNYA,
semoga seiring dengan apa yang dicita.


Redha DIA adalah matlamat utama,
tanpa redhaNYA amal menggunung tiada berguna.


Ayuh sahabat,
Kita cari cinta ALLAH.
Kita gapai mardhatillah...



*UKHUWWAH FILLAH ABADAN ABADA*

10/12/2010

9/21/2010

9/01/2010

SALAM PENGHUJUNG RAMADHAN


Assalamua'laikum

Apa khabar sahabat sekalian? Semoga dalam limpahan rahmatNYA sentiasa.

Hari ini, adalah hari ke-22 kita berada dalam bulan Ramadhan Al-mubarak. Sekejap sahaja masa berlalu. Ramadhan sudah hampir ke penghujungnya.

Sudah membuat penilaian tentang diri sendiri? Apa perubahan yang telah kita lakukan pada bulan Ramadhan yang mulia ini? Adakah semakin baik atau sebaliknya? Orang lain tak mampu menilainya, melainkan diri kita sendiri.

******



Tangan yang menghulur itu terpalit lekatan-lekatan hitam. Kedut kulit tangannya menterjemahkan kelewatan usianya yang menanti masa. Namun sebatang tubuh yang sungguh kusut itu masih menapak di sekitar gerai-gerai makan. Sekali sekala tangannya menepis-nepis rambut kerintingnya yang serabut itu daripada menutupi matanya. dari meja ke meja, dirinya bagaikan anjing yang dihalau saat tangan menghulur meminta belas. Tiadakah barang sebutir nasi dapat melalui kerongkongnya.

“ Ah, takde-takde. Orang tengah makan ni.”

Pemuda, mungkin dalam usia lewat 20an itu mencemuh sementara mulutnya lahap menelan nasi lemak ayam. Ternganga-nganga seperti setahun tidak makan. Pengemis tua itu mengalih arahnya. Menganguk-ngangguk membuat muka ‘ sebek’ memohon belas andai ada. Tangan kirinya mengusap perutnya yang beralas baju T kusamnya.masih gagal. Oleh kerana pengunjung gerai di situ sudah menyedari bahawa mereka akan menjadi ‘mangsa’ si pengemis ini, maka bersedialah mereka untuk menjadi pura-pura buta dan tuli. Tak dengar-tak dengar.

Sayangnya kalau duit melayang bagi kepada seorang pengemis hina begitu. Bukan senang hendak cari duit untuk makan. Mungkin itu kata-kata harapan untuk memujuk hati-hati sang kedekut. Semuanya untuk mulut dan perut sendiri.

Ada sepasang mata yang mengekori. Mampirlah hai si pengemis. Rezekimu dari Allah ada di sini. Nasi di meja tidak terusik. Hanyalah mahu memerhatikan arah si pengemis agar dia dapat menjejakinya. Sepasang mata itu masih menanti. Mahu menapak terus, hatinya bagai tidak kuat untuk menebar sedekah di khalayak. Mampirlah segera hai pengemis. Hampir kesemua meja yang dihampirinya, hanya manusia geleng yang dijumpainya. Manusia mati hati, dan buta hati. Manusia sampai hati melihat manusia hampir mati. Sudahlah hai pengemis, mereka mungkin juga pengemis sepertimu. Baru sahaja tabung ‘pengampu sedekah’ mereka hari itu penuh sehingga membuatkan mereka gila mahu makan. Anggap sahaja mereka begitu. Secara haknya memang begitu. Mereka semua pengemis sepertimu. Yang terlalu sukar mendapat rezeki sehingga takut ‘wang sedekah’ mereka berkurang untuk stok akan datang. Cuma mereka beruntung lebih sedikit daripadamu. Punya kereta, rumah dan pakaian.

“ Adik, jom ikut abang.”

Sepasang mata itu tidak keruan. Si pengemis terus-terusan di buat seperti anjing. Tangannya masih belum terisi dengan apa-apa. Lihat di atas meja, beg tangan Gucci, dan jam tangan Montblanch. Meminta daripada manusia geleng lagi miskin jiwa, memang itulah habuannya.
“ Abang nak pi mana?” Si adik terpaksa melepaskan cebisan kepak ayam yang tersangkut di rahang giginya. Gocoh benar abangnya menyambar tangannya.

“ Tu, nampak tu? Yang pak cik tua tu.”

Si abang menghulur telunjuk ke arah si pengemis. Si adik mengangguk-angguk. Kepala yang tidak gatal digaru.

“ Ni, ambil ni. Bagi kat pak cik tua tu ya.lepas tu adik ambil arah yang lain untuk mai ke sini balik.”

Si abang menggenggam tangan adiknya. Mudah-mudahan cukup untuk si pengemis. Si adik melangkah menghampiri si pengemis yang tersandar di tiang lampu melihat jika ada mata-mata yang mahu memanggil dirinya. Sepantas kilat, si adik menegur si pengemis menjabat tangan dengan berisikan sedikit ‘rezeki’. Bukan sedekah, tetapi itulah rezeki milik si pengemis yang Allah hantarkan melalui manusia lain. Ambillah, jangan rasa diri itu dibelas dan janganlah rasa rendah diri kerana harus menagih simpati. Itulah bahagianmu yang ada dalam jagaanku.

Subhanallah!

si pengemis bercucur air mata. Wajah mendungnya bagai diterangi cemerlang cahaya purnama. Dia lantas mendekati si penjual nasi yang hanyut sebentar melayan manusia geleng gopoh mengisi perut-perut mereka. dengan hidangan nasi berlauk ayam goreng rempah, si pengemis girang menghadap bahagian rezekinya hari itu. sempat lagi dia menadah tangan sambil matanya memejam rapat sebelum rezeki itu dinikmati. Entah apa yang didoakannya. Hai pengemis, tidaklah engkau harus menjadi seperti ini jika ada yang mahu peduli denganmu. Jikalau si kaya tidak terusan-terusan kaya, dan si miskin terusan-terusan papa. Jikalau wangmu tidak terus berlegar-legar di kalangan si kaya sehingga kau harus terkinja-kinja menagih simpati si kaya.
“ Adik nampakkan apa yang pak cik tua tu buat? Lepas adik bagi duit pa cik terus beli makan kan?”

Muka si adik tergambar kepuasan yang tidak pernah dirasainya.

“ Seronok tak tengok orang lain seronok?”

Angguk-angguk.penuh senyuman. Hai adik, itulah kepuasan! Puas kerana dapat memberi. Puas kerana melihat orang tersenyum gembira.

“ Jangan risau bagi duit kat orang. Nanti Allah ganti 10 kali ganda duit yang adik bagi tu. Tak nak?”

“ Nak abang!” tangan si abang mengusap-usap kepala si adik. Mengertilah hai adik, jadilah tangan yang memberi. Itulah kepuasan yang tidak dapat dibeli.

EPILOG :
Kisah benar bukan rekaan. Dari mana mahu mencari punca? Punca kenapa ramai yang menjadi manusia geleng saat tangan mahu menghulur. Tetapi sungguh mengangguk saat menjadi tangan yang menerima. Sungguh hairan!


*UKHUWWAH FILLAH ABADAN ABADA*

8/25/2010

Mengejar cintaNYA!!


Assalamua'laikum.

Apa khabar sahabat sekalian? Semoga sihat-sihat sentiasa hendaknya.

Dikesempatan ini, kami, wakil Alumni SMK Keroh mengucapkan selamat memasuki fasa ke-II kepada seluruh umat ISLAM walau dimana anda berada.

Hari ini, adalah hari ke-15 kita berada di bulan Ramadhan Al-Mubarak. Bermakna, hanya tinggal lebih kurang 14-15 hari saja lagi sebelum Ramadhan meninggalkan kita.

Sehingga ke saat ini, apakah perubahan yang telah kita lakukan? Hingga ke saat ini, apakah perubahan yang telah kita lakukan terhadap diri kita, insan-insan disekeliling kita, keluarga kita? Adakah bertambah baik atau sebaliknya?

Muhasabah.

Ramadhan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga. Bahkan ia adalah lebih daripada semua itu. Bulan Ramadhan adalah bulan barokah. Didalamnya terhimpun 1001 kebaikan yang menanti kita. Semuanya telah tersedia. Apa yang perlu kita lakukan ialah, USAHA. Tanpa usaha, makanan yang ada depan mata pun kita takkan dapat gapai, betul tak?

Teringat sabda Nabi Muhammad s.a.w : Sekiranya ummatku mengetahui kebaikan yang ada pada bulan Ramadhan, pasti mereka memohon supaya setiap bulan adalah bulan Ramadhan. ALLAHU RABBI. Lihat saja, betapa mulianya Ramadhan. Berjuta kebaikan terhimpun didalamnya. Amat rugi sekiranya kita tidak berusaha untuk sama-sama mendapatkan kebaikan tersebut.

Jadi, apa tunggu lagi? Ayuh, kita kejar cintaNYA!

*UKHUWWAH FILLAH ABADAN ABADA*

8/23/2010

permohonan IPTA sesi Dis 2010/Jan 2011


Assalamua'laikum


Alhamdulillah, ALLAH masih mengizinkan kita semua untuk bersama Ramadhan 1431H.


Dikesempatan ini, kami, wakil ALumni SMK Keroh, Kuala Krai Kelantan, ingin mengucapkan SELAMAT MENUNAIKAN IBADAH PUASA. Semoga ALLAH menerima amal ibadah yang kita lakukan, aminn.


Baiklah, kepada sesiapa yang berminat untuk melanjutkan pelajaran ke IPTA bagi sesi Disember 2010 / Januari 2011, bolehla rujuk pada laman web ni (http://eputra.com/permohonan-ipta-sesi-disember-2010-januari-2011/).

Semoga bermanfaat. =)

Wassalam

*UKHUWWAH FILLAH ABADAN ABADA*